Friday, December 17, 2010

Dasar luar amerika


BY: ahmad zackiy F 


1.0 Pengenalan

1.1 Perang Dunia Pertama

Perang Dunia Pertama berlarutan antara 1914-1918. Dianggarkan terdapat 8.6 juta mangsa peperangan ketika Perang Dunia Pertama. Pihak Bersekutu (Allied Powers) yang menang kehilangan 5.1 juta orang sementara Pasukan Pusat (Central Powers) 3.5 juta orang. Peperangan tersebut mengakibatkan kemusnahan besar kepada negara-negara yang terlibat dan dikenali sebagai peperangan untuk mengakhiri semua peperangan sehinggalah Perang Dunia Kedua.

Perang Dunia Pertama berlaku disebabkan oleh faktor politik dan ekonomi. Antara faktor politik termasuklah kemunculan nasionalisme dan sistem pakatan negara-negara Eropah, iaitu Perikatan Kuasa Tengah dan Pakatan Bertiga. Faktor ekonomi pula melibatkan persaingan kuasa-kuasa besar merebut peluang ekonomi.

Pada penghujung abad ke-19, negara-negara kecil di Eropah telah bersatu dan membentuk sebuah bangsa yang lebih besar. Contohnya, Jerman dan Itali. Kedua-dua negara ini menyertai kuasa besar Eropah yang lain seperti Britain, Perancis, Austria-Hungary dan Russia dalam usaha mendapatkan tanah jajahan. Nasionalisme yang kuat menyebabkan kuasa-kuasa besar ini sanggup berperang bagi membuktikan kekuatan masing-masing. Menjelang penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, persaingan sengit berlaku dikalangan kuasa Eropah ini akibat Imperialisme Baru. Kuasa besar mula bersaing bagi membentuk lingkungan pengaruh masing-masing untuk mendapatkan bahan mentah dan untuk memasarkan barangan siap mereka.
1.2 Perang Dunia Kedua
Perang Dunia Kedua memakan masa hampir selama enam tahun dan dianggarkan telah mengorbankan sejumlah 61 juta orang yang termasuk tentera dan orang awam. Russia mengalami jumlah kehilangan jiwa yang terbesar berbanding negara-negara lain dengan anggaran hampir 25 juta kematian. Ini diikuti oleh China dengan 11 juta dan Jerman seramai 7 juta.

Perang Dunia Kedua ini adalah peperangan yang paling meluas dan mengakibatkan paling bayak kerosakkan dalam sejarah dunia moden. Perang Dunia Kedua turut membabitkan kebanyakan negara di dunia dengan pertempuran di beberapa medan utama berlaku secara serentak dengan mengorbankan sekitar 50 juta nyawa. Perang Dunia Kedua ini kebanyakan melibatkan pihak Berikat (Alliance). Misalnya, negara-negara Komanwel (British Commonwealth), Perancis, Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet dan China dengan Kuasa Parsi (Axis Powers) yang merupakan perikatan di antara Jerman, Itali dan Jepun. Kebanyakan pertempuran berlaku di Medan Eropah Perang Dunia Kedua (Medan Atlantik) dan di sekitar Eropah dan dalam Peperangan Pasifik (Medan Pasifik) di Pasifik dan Asia Timur.

Peperangan Dunia Kedua ini adalah penting disebabkan buat kali pertamanya kuasa udara memainkan peranan utama. Malah operasi pertempuran pertama dalam Perang Dunia Kedua merupakan serangan bom Jerman terhadap Poland, sementara operasi pertempuran terakhir adalah serangan bom atom Amerika terhadap Nagasaki. Peperangan ini juga memperlihatkan yang Amerika Syarikat keluar dari dasar polisi pengasingan diri, kemusnahan dan kebangkitan semula Jerman dan Jepun sebagai kuasa industri utama dan kemunculan Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet sebagai kuasa besar dunia. Peperangan ini juga secara langsung membawa kepada Penubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang ditubuhkan oleh Pihak Berikat yang menang agar pertelingkahan yang sebegitu besar dan menjahanamkan tidak akan berlaku lagi buat selama-lamanya. Tugasan ini juga akan memberi penekanan terhadap dasar luar Amerika Syarikat semasa dan selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

2.0 Pengenalan kepada polisi dasar luar Amerika Syarikat
Jika dilihat kepada polisi atau dasar luar Amerika pada peringkat awalnya, ia lebih kepada pengecualian kuasa di mana mereka lebih menumpukan perhatian dalam perkara-perkara yang berhubung dengan hal-hal dalam negeri (Donalson, G. A, 2003, pg. 87).  Contohnya, awal 1800-an  Amerika telah memutuskan untuk tidak campur tangan dalam urusan-urusan negara-negara Eropah dan Eropah tidak boleh campur tangan dalam urusan-urusan di Hemisfera Barat.
Selain itu, Amerika telah mengumumkan Doktrin Monroe sebagai asas kepada polisinya. Satu abad kemudian, Amerika memutuskan untuk bertindak bersama-sama negara di utara dan selatan Amerika untuk kebaikan umumnya. Inilah kemudiannya telah dilancarkan “Good Neighbour Policy”. Amerika kemudiannya mula berjaga-jaga dengan kuasa-kuasa Eropah dan dasar isolasi telah dijadikan asas dalam hubungan Amerika dengan kuasa-kuasa luar.
Polisi luar Amerika hari ini adalah dipengaruhi oleh sikap dan peristiwa masa lalu. Semasa tahun-tahun sebelumnya, Amerika adalah satu kuasa yang lemah dan hanya ada sedikit perubahan dalam urusan-urusan  dunia. Negara-negara  Eropah yang menguasai telah memegang kuasa dunia. Pada masa ini Amerika  berpegang kepada dasar isolasi.
Berikutnya, Amerika mempunyai ikatan perdagangan dan diplomatik dengan negara-negara lain tetapi cuba mencari agar dapat mengelakkan diri dalam peperangan asing dan juga tidak terlibat dalam penyekutuan dengan mana-mana negara. Doktrin Monroe yang diistiharkan oleh Presiden Jamers Monroe merupakan satu mesej yang terkenal dalam menjadi asas kepada dasar luar Amerika kemudiannya. Empat ciri penting terdapat dalam Doktrin Monroe ini ialah:
1.      Hemisfera Barat tidak terbuka untuk dijajah oleh mana-mena kuasa Eropah.
2.      Mana-mana percubaan mana-mana negara Eropah untuk menubuhkan koloni-koloni baru di dunia atau untuk mengawal politik mana-mana negara Amerika akan dipandang sebagai tindakan tidak bersahabat dengan Amerika.
3.      Amerika tidak boleh campurtangan dalam urusan-urusan Eropah atau dalam mana-mana urusan koloni-koloni Amerika yang telah sedia bebas.
4.      Sebaliknya, Eropah walau bagaimana pun tidak boleh menganggu status politik mana-mana negara yang bebas di Hemisfera Barat (www.members.tripod.com). 

3.0 Dasar Pengasingan (isolation)  pada Perang Dunia Pertama
Isolasi jika dilihat definisinya adalah bermaksud pengasingan, pemencilan dan pemisahan. Namun apa yang hendak kita lihat di sini adalah merujuk kepada Amerika di mana dasar pemencilan kuasa Amerika dalam hubungannya dengan negara-negara luar khususnya dengan kuasa-kuasa Eropah. Lebih kurang suku abad Amerika berada dalam dasar pemencilan kuasa di mana pada masa itu, ia banyak menumpukan perhatian kepada masalah dalam negara serta pembangunan negaranya.
Dalam memperkatakan tentang dasar isolasi ini, ia mempunyai ciri-ciri tertentu. Antara ciri-cirinya ialah:
1. Tiada campurtangan dan tidak mahu mengambil bahagian dalam mana-mana urusan politik. Amerika menganggap pencerobohan kuasa lain seperti ‘boomerang’ yang boleh membahayakan kedaulatannya sendiri.
2. Menghindarkan daripada sebarang tindakan bersama. Seperti tindakan di mana di bezakan dari secara kebetulan atau dibuat dengan tindakan, ia adalah aspek kepada perpaduan, larangan dalam hubungan dengan kuasa lain dan di dalam kewajipan pelaksanaan pentadbiran. Sebarang pembabitan adalah dipertimbangkan.
3. Tidak bergantung dengan mana-mana kuasa politik yang lebih besar.
4. Tiada pembabitan dengan mana-mana perikatan
5. Tiada had dalam hak asas bagi sesuatu kedaulatan (www.members.tripod.com).
Sepanjang satu abad, Amerika hanya bertindak sendirian dalam urusan-urusan antarabangsa. Malah dengan adanya Doktrin Monroe, ia adalah untuk memberi amaran kepada kuasa Eropah supaya tidak campurtangan di Hemisfera Barat. Presiden Monroe percaya bahawa keselamatan Amerika dan kepentingan ekonominya akan terselamat dengan kebebasan negara-negara di Hemisfera Barat.
Namun, sepanjang penghujung 1800an  dan awal 1900an Amerika mula mengorak langkah cuba menjauhkan negaranya daripada polisi isolasi. Ia mula membina kekuatan ketenteraan dan memainkan peranan membesar dalam urusan antarabangsa. Presiden Roosevelt telah memberi interprestasi baru terhadap Doktrin Monroe ini. Beliau telah menggunakan Slogan, “Speak softly and carry a big stick”. Ini adalah bagi menerangkan tentrang polisinya yang sedia diketahui sebagai  “Roosevelt Corollary” (www.members.tripod.com).
Dasar luar Amerika ini telah membawa keuntungan kepada Amerika. Amerika tidak lagi harus difikirkan sebagai “Subjek For Future Colonozation” dan Doktrin Monroe merupakan dokumen isolasi yang menjadi asas kepada polisi luar Amerika.
Semasa Perang Dunia Pertama, Amerika banyak mengamalkan konsep Balance of Power atau disebut juga sebagai “keseimbangan kuasa”. Keseimbangan kuasa ini merupakan keadaan atau proses untuk menghindari sesebuah atau sekumpulan negara memiliki kuasa dominan yang boleh digunakan untuk memaksa kehendak mereka terhadap sesebuah atau sekumpulan negara yang lain. Tujuan utama keseimbangan kuasa ialah untuk menghindari wujudnya empayar dunia melalui dua bentuk iaitu sebagai dasar sesebuah negara dan juga sebagai sistem politik antarabangsa.
Sekiranya melihat dari konteks “Collective Security”, ia sebenarnya menjadi prinsip asas di dalam Liga Bangsa (League of Nations). Secara umumnya, ahli-ahli yang terlibat dalam Liga Bangsa akan mengambil tindakan mengancam atau menyerang salah satu ahli lain (International Norm). Liga Bangsa ini juga berdasarkan tindak balas bersama seperti pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa. Contohnya jelas dapat dilihat pada Perang Dunia Pertama. Pada Januari 1918, Woodrow Wilson iaitu Presiden Amerika Syarikat telah menyalurkan idea melalui “Fourteen Point”.

Jika diukur dari sudut kuasa, konsep kuasa ini merupakan suatu konsep yang sering dipertikaikan. Walau bagaimanapun, ia merupakan dua perkara. Pertama, kuasa sebagai kesanggupan (capability) atau milik (possession) sesebuah negara dan kedua, kuasa sebagai hubungan (relationship) antara negara. Sebagai kesanggupan unsur-unsur kuasa negara (national power) yang diambil kira seperti saiz, kedudukan, iklim, keadaan bentuk muka bumi daripada wilayah sesebuah negara. Selain itu, sumber-sumber alam, sumber-sumber tenaga dan bahan-bahan makanan yang boleh dihasilkan. Ia dilihat sebagai perkaitan kesanggupan yang dimiliki oleh sesebuah negara untuk membuat negara lain mengalah, taat atau mampu melawan.

Sekiranya negara lain itu melawan, maka perlawanan tersebut mampu dipatahkan dan ditukar menjadi ketaatan. Berdasarkan kedua-dua aspek iaitu kemampuan dan hubungan, maka negara-negara di dunia ini dapat dikategorikan kepada sekurang-kurangnya tiga kategori. Iaitu, kuasa besar, kuasa menengah dan kuasa kecil (Boyd, G. & Pentland, C., 1981). Selain daripada itu, kenyataan yang dapat dijadikan bukti yang menunjukkan kuasa menjadi elemen penting ialah melalui kata-kata Hitler. Hitler menggunakan konsep Lebensraum iaitu “living space”. Contoh, “Hitler’s aim to take land from bordering states to achieve self-sufficiency”.

Selain itu, prinsip moral juga digunakan semasa Perang Dunia. Misalnya, prinsip moral yang sering diperkatakan oleh Woodrow Wilson pada Perang Dunia Pertama iaitu “make a world safe for democracy” (http://encarta.msn.com/find/concise). Konsep lain ialah self-determination. Salah satu prinsip yang menunjukkan semangat yang tinggi tetapi ia dipilih secara hati-hati. Prinsip ini dipelopori oleh Presiden Amerika Syarikat iaitu Woodrow Wilson dalam membuat “peacemaking” sebagai rentetan Perang Dunia Pertama. Secara umumnya menurut beliau, “people should enjoy self-government over its own sovereign nation-state”. Wilson mengaplikasikan prinsip ini ke atas negara-negara Eropah Tengah atau Eropah Timur.

Dari aspek politik, pada ketika ini sudah ada negara yang berbentuk “nation state” serta mempunyai bahasa dan bangsa mereka sendiri. Malah, telah ada pemerintahan secara perlimen serta mewujudkan parti-parti yang bertindak untuk mengikat kelas dan ideologi. Walaupun begitu, mereka kurang bertanggungjawab kerana terdapat banyak parti yang wujud.  Selain itu, telah wujud juga pengasingan kuasa tetapi ianya hanya dilakukan oleh pihak Amerika Syarikat. Contoh lain ialah, kuasa Raja dan Presiden dilihat telah berkurangan di Britain dan Perancis. Elemen yang paling penting dalam struktur politik pada masa ini adalah dengan menggunakan dasar majoriti di parlimen. Walau bagaimanapun, masih ada lagi negara yang mengekalkan sistem monarki seperti di Austria-Hungary. 

4.0  Dasar Campurtangan (intervention) pada Perang Dunia Kedua
Di bawah Woodrow Wilson, Amerika semakin jauh dari dasar isolasinya. Pasukan tentera Amerika telah memasuki Republik Dominica dan Mexico untuk terus memerintah dan menghalang campurtangan Eropah. Lebih penting lagi, Amerika telah mula terlibat dengan Perang Dunia Pertama. Ini merupakan kali pertama Amerika mengambil bahagian dalam peperangan di mana timbul akibat daripada pertikaian pihak Eropah. Selepas perang, Wilson mahu Amerika muncul sebagai kuasa yang aktif dalam hal-hal keamanan dan demokrasi di dunia.

Kemudiannya, Amerika mula jemu dengan masalah Eropah dan kembali semula kepada polisi isolasinya. Walau bagaimanapun, pengembalian ini hanya sementara apabila terdapatnya kemunculan kuasa-kuasa diktator di Jerman, Itali dan Jepun yang membawa kepada perang dunia kedua. Amerika telah bersekutu dengan Great Britain, Perancis dan Soviet Union menentang ketiga-tiga kuasa tersebut dari tahun 1941 hingga 1945 (www.members.tripod.com). 

Dari sini, kita dapat melihat perubahan dasar polisi Amerika yang telah berubah dari satu dasar isolasi kepada dasar imperlisme dan buat seketika kembali kepada dasar solasi atau pemencilan kuasa yang kemudiannya dengan dasar perluasan kuasanya. Dari apa yang telah dibincangkan dan digambarkan di atas telah memperlihatkan yang Doktrin Monroe itu sendiri yang menjadi asas dalam polisi luar Amerika. Kemudiannya, ia telah dilaksanakan oleh pemimpin seterusnya dalam menjalankan pentadbiran Amerika. Konsep “Harmony of Interest” ialah satu idea yang semulajadi yang muncul dalam politik antarabangsa dan hubungan ekonomi. Konsep ini muncul pada awal abad ke-20, misalnya pada Britain dan Jerman. Masing-masing mempunyai saling kebergantungan ekonomi yang tinggi sebelum Perang Dunia Pertama yang dilihat akan mengadakan kerjasama saling kebergantungan dalam ekonomi dengan aman (John Baylis & Steve Smith, 2005).

Pada Perang Dunia Kedua, satu plan telah dirangka oleh Setiausaha Amerika Syarikat, George Marshall iaitu “Program Pemulihan Ekonomi” (Economy Recovery Program). Program ini terkenal dengan nama “Marshall Plan” yang menghendaki Kongres Amerika Syarikat untuk memperuntukkan berjuta dolar bagi pembinaan semula Eropah.

Walau bagaimanapun, bahagian Eropah yang ditakluk atau dikuasai Soviet Union tidak mendapat untung dari Pelan Marshall. Dalam Perjanjian Perdamaian Paris (Paris Peace Treaties), musuh Soviet Union seperti Hungary, Finland and Romania dikehendaki membayar pampasan perang sebanyak $300,000,000 setiap satu (dalam nilaian dolar 1938) kepada USSR dan negara sekutunya. Itali dikehendaki membayar $360,000,000, dikongsi kebanyakannya di antara Greece, Yugoslavia dan Soviet Union (www.ferrantronics.com/id).

Seterusnya yang menyebabkan campurtangan dalam Perang Dunia Kedua adalah melibatkan penubuhan Liga Bangsa (League of Nations). Badan dunia baru dibentuk apabila League of Nations dilihat gagal menghalang peperangan dari berlaku. Pada tahun 1945, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ditubuhkan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang dibentukkan di San Francisco, California pada 24 Oktober 1945 selepas Perang Dunia II. Keahliannya terbuka kepada semua negara di seluruh dunia. Matlamat utamanya sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Piagamnya, adalah untuk mengelakkan perulangan pertikaian yang hebat, menegaskan hak asasi manusia yang utama, menjamin rasa hormat kepada undang-undang antarabangsa, serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia.

Istilah “Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu” (United Nations) dicipta oleh Franklin D. Roosevelt sewaktu Perang Dunia II berlangsung untuk merujuk kepada Pihak Berikat yang terdiri daripada 26 negara. Nama ini digunakan secara rasmi buat pertama kali pada 1 Januari 1942 dalam “Pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu”. Pengisytiharan ini bertujuan untuk mengikat ahli-ahli Pihak Berikat kepada prinsip-prinsip Piagam Atlantik serta untuk menerima sumpah daripada ahli-ahlinya supaya tidak menuntut keamanan daripada Kuasa Paksi. Selepas pengisytiharan itu, Pihak Berikat menggunakan nama “Angkatan Pertempuran PBB” untuk merujuk kepada perikatan mereka.

Gagasan untuk PBB telah diperincikan dalam pengisytiharan-pengisytiharan yang ditandatangani dalam persidangan-persidangan Pihak Berikat di Moscow, Cairo dan Tehran sewaktu masih berperang pada tahun 1943. Dari Ogos sehingga Oktober 1944, wakil-wakil daripada Perancis, Republik China, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet bertemu untuk memperincikan rancangan-rancangan di Estet Dumbarton Oaks, Washington DC. Perbincangan ini dan perbincangan yang kemudian menghasilkan cadangan-cadangan yang menggariskan tujuan-tujuan pertubuhan itu, keahlian dan alat-alatnya, serta pengurusan untuk memeliharakan keamanan dan keselamatan antarabangsa serta kerjasama ekonomi dan sosial antarabangsa.

Sebelum pengisytiharan daripada peperangan kuasa Axis pada tahun 1942, pengawai-pengawai Washington telah memikirkan tentang bentuk dan sifat sistem ekonomi antarabangsa yang akan datang pada tahun 1945. Pembuat dasar mempercayai bahawa susut nilai besar (Great Depression) dan kemunculan fahaman Fasis mengakibatkan diskriminasi politik perdagangan terus-menerus sepanjang peperangan. Pada tahun 1941, rejim perdagangan menjadi satu matlamat polisi luar negara (foreign policy) yang besar dari pentadbiran Roosevelt. Ini telah menjelaskan dengan nyata dalam kandungan Piagam Atlantik. Dalam Artikel IV ada menyatakan bahawa semua negara patut mengamalkan “access, on equal terms, to the trade and to the raw material of the world which are needed for their economic prosperity”.

Pendekatan ini menyangka perjanjian Lend-Lease 1942 dengan Britain. Perjanjian Lend-Lease membenarkan Presiden menyerahkan senjata api dan apa-apa bahan yang berkenaan dengan peperangan kepada negara yang menyerang kuasa Axis. Walau bagaimanapun, Britian dengan syaratnya untuk mempersetujukan order ekonomi antarabangsa baru.

Pada Ogos 1944, Amerika Syarikat (US), Britain dan 44 buah negara lain berjumpa di Bretton Woods. Bretton Woods adalah sebuah bandar yang kecil di New Hampshire. Pertemuan ini bertujuan untuk mencatat peraturan-peraturan dan institusi formal supaya mengawal atau mentadbir hubungan perdagangan dan kewangan. Watak utama dalam persidangan ini adalah Harry White dari Amerika Syarikat dan John Maynard Keynes dari Britain.

Bretton Woods membuat keputusan yang instrumental bukan sahaja menyebabkan kembali ekonomi dari Europe tetapi membentukkan rangka untuk berpengaruh komersil dan kewangan sekarang. Lebih penting lagi adalah ini akan menghasilkan US menjadi lebih berkuasa dalam ketenteraan dan kuasa ekonomi. Negara-nagara barat membentuk lebih banyak angkatan ketenteraan dan mempengaruhi fikiran dalam bidang ekonomi. Oleh demikian, Bretton Woods bermakna untuk menjadi pemenang persidangan, US menetapkan agenda dan mendominasikan dalam mesyuarat rasmi.

Keputusan mensyuarat Bretton Woods adalah untuk menstabilkan sistem kewangan antarabangsa dan memudahkan pengembangan perdagangan. Lebih mendalam bahawa Bretton Woods telah membentuk 3 institusi-institusi formal iaitu Bank Dunia (World Bank), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Perjanjian Am Mengenai Perdagangan dan Tariff (GATT). Bank Dunia berperanan untuk menawarkan pinjaman kepada mana-mana negara yang telah dibinasakan oleh Perang Dunia II. IMF pula ditubuhkan untuk mengawasi pengurusan dalam nilai pertukaran tetap (fixed exchange rate) antara anggota negara. GATT ditubuhkan supaya menganalisis diskriminasi perdagangan. Perbezaan yang wajar dalam sistem Bretton Woods adalah nilai pertukaran tetap. Mata wang seluruh dunia akan dinilaikan dalam US dolar oleh IMF dan emas akan menentukan nilai dolar. Pada tahun 1945, US memegang lebih kurang 75% stok emas dari dunia (anggaran US$25 billion). Di bawah perjanjian, US berjanji untuk menukarkan dolar kepada emas (Martin Griffiths & Terry O’ Callaghan, 2002).

Bank Dunia (World Bank) yang aslinya bernama “International Bank For Reconstruction And Developement (IBRD)”. Bank dunia ini ditubuhkan bagi penyusunan dan pembangunan negara sedang membangun. Ini adalah hasil daripada persidangan Bretton Woods di Amerika Syarikat pada tahun 1944. Pada awal penubuhannya, Bank Dunia bertujuan untuk membiayai pembinaan semula Eropah yang musnah akibat Perang Dunia Kedua, tetapi kemudiannya ia diperluaskan kepada penyediaan bantuan kewangan dan teknikal di negara-negara sedang membangun di Amerika Latin, Afrika dan Asia.

Sehubungan ini, Bank Dunia mulai beroperasi pada tahun 1946. Ia berfungsi sebagai lembaga kewangan yang menghutangi wang bagi projek-projek pembangunan di berbagai-bagai negara untuk memajukan ekonominya. Faedah yang diberikan relatif lebih rendah bertimbang bila negara-negara tersebut meminjam dari Bank Komersial. Bank Dunia telah menjadi mekanisme utama untuk menempa model-model pembangunan bagi negara-negara dunia ketiga. Bank Dunia melakukan hal itu melalui hutang yang terikat dengan berbagai-bagai kebijakan yang mendorong semakin menyatukan negara-negara dunia ketiga di arena antarabangsa. Hal ini juga dilakukan dengan cara mendorong peningkatan hasil bahan-bahan mentah dan import peralatan teknologi baru yang berasal dari negara-negara utara dalam bidang pertanian, kehutanan dan sebagainya (Martin Griffiths & Terry O’Callaghan, 2002, pg. 334).

5.0 Kesimpulan
Mungkin pada asasnya, idea isolasi adalah sebagai persediaan kebangsaan atau pengecualian darpada sesetengah kuasa politik. Ia merupakan satu percubaan untuk mengasingkan negara daripada cengkaman mana-mana kuasa luar. Menerusi dasar pemencilan kuasa ini, Amerika dapat membina negaranya melalui Doktrin Monroe. Doktrin Monroe dilihat oleh Amerika supaya dapat menghalang kuasa Eropah daripada camputangan dala urusan negara Amerika Latin yang pada ketika itu baru berada di bawah dominasinya. Walaubagaimanapun, dasar Amerika berubah pada tahun 1941 apabila Perang Dunia Kedua bermula. Dari dasar isolasi kepada dasar campurtangan, peranan Amerika dilihat sebagai untuk mendominasi negara-negara lain yang terlibat. Dasar perluasan kuasa ini telah membuktikan bahawa Amerika berjaya dalam misi “Colonialisme”. Malah, dasar ini terus kekal hingga kini.

RUJUKAN
Baylis, J. & Smith, S. (2005). The Globalization of World Politics: An Introduction Relations. New York: Oxford University Press Inc.

Boyd, G. & Pentland, C. (1981). Issue in Global Politics. New York: The Free Press.

Donalson, G. A. (2003). American Foreign Policy; The Twentieth Century in Documents. New York: Pearson Education Inc.

Dacor Bacon House Foundation. (1991). American Diplomacy In The Information Age. New York: University Press Of America.

Griffiths, M & O’ Callaghan, T. (2002). International Relation: The Key Concepts. London: Routledge.

Johnson, L. K. (1991). America as a World Power; Foreign Policy in a Constitutional Framework. New York: McGraw-Hill Inc.

Shakila Yacop. (2005). Amerika Syarikat; Pembentukan Negara Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Doktrin Monroe dan Dasar Isolasi Amerika. Capaian pada Ogos 29, 2006, daripada:                     www.members.tripod.com

Perang Dunia II facts and information.  Capaian pada Ogos 29, 2006, daripada:                             www.ferrantronics.com/id.

World War.  Capaian pada Ogos 29, 2006, daripada:
http://encarta.msn.com/find/concise.



0 comments:

Post a Comment